SHAH ALAM — Seorang lelaki berusia 40 tahun maut selepas lemas ketika cuba menyelamatkan anaknya yang terjatuh ke dalam sungai di Kampung Bukit Jati, Klang, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.42 malam.
Menurut maklumat awal, mangsa sedang memancing bersama anak lelakinya yang berusia 11 tahun sebelum insiden berlaku.
“Mangsa dipercayai terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan anaknya.
Anak mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, mangsa tidak berjaya diselamatkan dan ditemukan lemas sekitar jam 9 malam, kira-kira tiga meter dari lokasi dia dipercayai jatuh.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Selatan dengan kekuatan enam anggota terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat sebelum membawa naik mayat mangsa.