Khamis, 17 Julai 2025
UTAMAJENAYAHBaru bebas lepas ikat jamin, pemandu lori batu ditahan semula kes curi...

Baru bebas lepas ikat jamin, pemandu lori batu ditahan semula kes curi lembu

- Advertisement -

TELUK INTAN – Seorang pemandu lori yang sedang berdepan pertuduhan memandu secara berbahaya hingga meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), ditahan semula sejurus selepas dibebaskan dengan jaminan tengah hari tadi.

Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, ditahan semula oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk ketika berada di kaunter pembayaran jamin, kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Sebelum itu, proses pembayaran jaminan berjumlah RM6,000 bagi kes memandu secara berbahaya dilakukan oleh majikannya, Ravi, 58, bersama seorang jiran sekampung, Roslan, 62.

Menurut sumber, penahanan semula Rudi adalah bagi membantu siasatan dalam kes curi lembu yang dilaporkan berlaku di kawasan Hutan Melintang, Bagan Datuk pada April lalu. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Pada Jumaat lalu, di Mahkamah Majistret Teluk Intan, Rudi mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU.

Mengikut pertuduhan, insiden itu berlaku di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, Hilir Perak, pada pukul 9 pagi, 13 Mei lalu.

Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai S. Perumal, 44; Mohd. Roslan Abdul Rahim, 46; Mohd. Pozli Jaudin, 41; Nurit Pandak, 34; Amiruddin Zabri, 38; Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38; Muhamad Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33 dan Akmal Wafi Annuar, 28.

Hakim Mahkamah Sesyen, Norhamizah Shaiffuddin yang bertindak sebagai Majistret ketika prosiding, membenarkan Rudi diikat jamin RM6,000 bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, kebebasan itu hanya seketika apabila dia kembali ditahan untuk siasatan kes berasingan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN