KUALA LUMPUR — Pelakon dan penyanyi tersohor Indonesia, Acha Septriasa, berkongsi kisah peribadi yang menyentuh hati apabila mengenang detik sebelum dia ditawarkan untuk membintangi filem seram aksi Qodrat 2, yang kini ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia.
Acha, 35, berkata permintaan ikhlasnya kepada Allah SWT usai menunaikan solat Asar menjadi titik permulaan kepada peluang istimewa tersebut, apabila dia memohon agar dikurniakan rezeki dalam bentuk kerja seni yang bukan sahaja memberi kepuasan, malah membawa dirinya lebih dekat kepada agama.
“Saya ingat lagi selepas solat Asar, saya berdoa bersungguh-sungguh. Saya minta agar Allah berikan saya peluang berlakon dalam filem yang bagus dan kalau boleh, biarlah projek itu dekatkan saya kepada Allah,” katanya ketika ditemui MYBERITA pada tayangan perdana Qodrat 2 di TGV Suria KLCC, malam tadi.
Apa yang mengejutkan, hanya 10 minit selepas berdoa, Acha menerima panggilan daripada pengarah filem Qodrat 2, Charles Gozali, yang menawarkan watak penting dalam filem berkenaan.
“10 minit sahaja, doa saya dimakbulkan. Saya terima panggilan daripada Charles Gozali, dia cakap ada satu watak untuk saya dalam filem Qodrat 2. Saya macam dalam keadaan kebingungan, padahal baru sebentar tadi saya doa minta pekerjaan dan tiba-tiba ditawarkan berlakon,” ujar Acha dengan nada terharu.
Tambahnya lagi, Charles memintanya datang ke set penggambaran di Jakarta untuk berbincang lebih lanjut mengenai peranan yang ditawarkan. Lebih menyentuh hati, Acha diberitahu bahawa sebelum pengarah tersebut menghubunginya, kru produksi telah menyebut namanya sebagai pelakon paling sesuai untuk watak Azizah.
“Kemudian Charles beritahu bahawa sebelum menelefon saya, kru produksi yang duduk di meja berbincang tiba-tiba terfikir saya pelakon yang sesuai untuk bawa watak Azizah. Itu bagi saya satu magik dan nyata. Itu semua dari Allah SWT,” katanya.
Dalam Qodrat 2, Acha memegang watak Azizah, isteri kepada Ustaz Qodrat lakonan Vino G. Bastian. Filem ini mengisahkan perjuangan pasangan itu dalam melawan iblis Asu’ala demi melindungi anak mereka. Elemen aksi, seram dan spiritual menjadikan filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi sarat dengan mesej ketuhanan dan kekeluargaan.
Filem arahan Charles Gozali ini mula ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 17 April, dan sebelum ini telah mencatat lebih dua juta penonton di Indonesia, sekali gus membuktikan kekuatan jalan cerita serta lakonan barisan pelakon yang hebat.