Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMANASIONALBas Smart Selangor ditangguh, APAD nafi jadi punca

Bas Smart Selangor ditangguh, APAD nafi jadi punca

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penangguhan sementara perkhidmatan Bas Smart Selangor di lima laluan sekitar kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) baru-baru ini bukan berpunca daripada kelewatan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam memproses permohonan, sebaliknya disebabkan kelewatan pihak pengendali mengemukakan dokumen lengkap.

Menurut kenyataan rasmi APAD hari ini, siasatan mendapati permohonan baharu daripada Syarikat SKS Coachbuilders Sdn Bhd selaku pengendali hanya diterima pada 25 dan 26 April lalu, dan bukan dua bulan lebih awal seperti didakwa.

“Semua lima permohonan telah diproses mengikut prosedur operasi standard (SOP), kriteria dan syarat yang ditetapkan dan telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan (eJKP) pada 8 Mei lalu,” jelas APAD.

Bagaimanapun, APAD menyatakan beberapa syarat penting masih belum dipenuhi oleh syarikat tersebut termasuk pemasangan sistem kedudukan sejagat (GPS) yang tidak mematuhi piawaian serta ketiadaan Surat Tawaran Kelulusan (STK) yang dilesenkan.

“Permohonan diluluskan secara bersyarat pada 8 Mei, dan pemohon telah diberi peluang untuk melengkapkan keperluan tersebut sebelum kelulusan penuh diberikan,” katanya.

SKS Coachbuilders akhirnya melengkapkan semua keperluan pada 15 Mei dan permohonan tersebut diluluskan secara rasmi dalam Mesyuarat eJKP pada 22 Mei. STK boleh dicetak melalui sistem iSPKP APAD bermula 23 Mei.

Mengulas lanjut, APAD menegaskan bahawa pihaknya memproses permohonan dalam tempoh kurang daripada 14 hari bekerja, sejajar dengan Piagam Pelanggan mereka untuk permohonan baharu permit pengangkutan awam.

“Sebarang ketidakpatuhan terhadap syarat yang ditetapkan boleh menyebabkan penolakan permit atau lesen. Kami kekal komited untuk memberi perkhidmatan pelesenan yang adil, telus dan efisien, sejajar dengan prinsip Malaysia Madani,” kata kenyataan itu lagi.

APAD turut mengingatkan semua penyedia perkhidmatan pengangkutan awam supaya memastikan setiap kriteria dan syarat dipatuhi bagi mengelakkan gangguan operasi serta kerugian kepada pengguna yang bergantung kepada pengangkutan awam dalam kehidupan seharian.

Sebelum ini, lima laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor di Subang Jaya iaitu SJ01, SJ02, SJ03, SJ04 dan SJ05 ditangguhkan sementara, menyebabkan pengguna terpaksa beralih kepada mod pengangkutan lain, sekaligus meningkatkan kos perjalanan harian mereka. Situasi itu turut mencetuskan dakwaan kononnya APAD mengambil masa hampir dua bulan untuk memproses permohonan, dakwaan yang kini telah dinafikan secara rasmi.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN