PERAK – Satu kemalangan ngeri melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah kereta jenis Perodua Alza dilaporkan berlaku awal pagi tadi di Lebuh Raya Timur Barat, selepas kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa, Gerik, Perak.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum jentera bomba tiba di lokasi pada jam 2.05 pagi.
Kemalangan tragik itu membabitkan seramai 49 mangsa, termasuk 43 pelajar UPSI dari kampus Tanjung Malim, seorang pemandu dan seorang pembantu bas serta empat individu menaiki kereta Perodua Alza.
JBPM memaklumkan, kemalangan menyebabkan bas tersebut terbalik manakala Perodua Alza terbabas ke dalam parit. Operasi menyelamat dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik dan Jeli yang diketuai Komander Operasi, Kamarul Ariffin Abd Ghani dan Komander Operasi Kanan, Azizan Aziz.
“Setakat ini, seramai 13 mangsa disahkan meninggal dunia, 32 orang mengalami kecederaan (mangsa dari bas) manakala tiga mangsa dari Perodua Alza cedera ringan dan seorang lagi patah tangan,” kata JBPM dalam kenyataan.
Dua mangsa wanita yang cedera parah, seorang patah tangan dan seorang lagi cedera di kepala telah dihantar ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut. Semua mangsa telah dibawa ke Hospital Gerik bagi mendapatkan rawatan segera.

Kerja-kerja penyelamatan masih sedang dijalankan oleh pihak bomba dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat punca sebenar kejadian yang mengorbankan banyak nyawa itu.