SYDNEY – Seorang bekas pegawai polis di Australia terlepas hukuman penjara selepas didapati bersalah atas kesalahan membunuh tanpa niat terhadap seorang wanita berusia 95 tahun yang mengalami demensia di sebuah rumah penjagaan.
Kristian White menggunakan alat renjatan elektrik (Taser) ke atas Clare Nowland di rumah penjagaan Yallambee Lodge di Cooma, berhampiran Canberra, pada Mei 2023.
White mendakwa tindakannya bertujuan mengelakkan konfrontasi yang lebih ganas selepas mendapati wanita itu dalam keadaan bingung sambil memegang sebilah pisau dapur kecil.
Bagaimanapun, mahkamah mendapati tindakan White tidak wajar dan “terlalu keterlaluan” kerana Nowland yang hanya seberat 48kg serta menggunakan alat bantuan berjalan tidak dianggap sebagai ancaman serius.
Pada hari kejadian, White bersama seorang rakan setugas dan pasukan paramedik telah dipanggil ke rumah penjagaan itu sekitar jam 4 pagi selepas Nowland dilihat berjalan sambil membawa dua bilah pisau steak bergerigi.
Rakaman kamera badan menunjukkan White memberi amaran kepada Nowland untuk melepaskan pisau sebelum berkata, “bugger it” dan terus menembak Taser ke arahnya.
Nowland terjatuh, kepalanya terhantuk, dan mengalami pendarahan otak yang membawa kepada kematiannya.
Semasa perbicaraan, pihak pembelaan berhujah bahawa tindakan White berasaskan kebimbangan terhadap keselamatan diri dan rakan setugasnya.
Namun, pihak pendakwaan menegaskan bahawa White bertindak secara terburu-buru dan tidak sabar kerana hanya mengambil masa tiga minit sebelum menggunakan Taser terhadap wanita uzur itu.
Keluarga Nowland menyifatkan tindakan White sebagai “tidak berperikemanusiaan” dan menuntut keadilan atas kehilangan insan tersayang mereka.
“Hingga ke hari ini, saya masih trauma dengan tindakan pengecut ini.” Anak sulung Nowland, Michael Nowland, berkata.
Hakim Ian Harrison dari Mahkamah Agung New South Wales menyifatkan tindakan White sebagai “kesilapan besar” dan kes itu sebagai sesuatu yang “tidak pernah dihadapinya sebelum ini” sepanjang hampir dua dekad di bangku kehakiman.
Walau bagaimanapun, White tidak dikenakan hukuman penjara atas alasan dia sudah kehilangan pekerjaannya, tidak diterima oleh masyarakat setempat, serta tidak dianggap berisiko untuk mengulangi kesalahan serupa.
Hakim turut mempertimbangkan kesukaran yang mungkin dihadapi bekas pegawai polis dalam penjara.
Sebaliknya, White dijatuhi hukuman perintah pembetulan komuniti selama dua tahun dan diwajibkan menjalani 425 jam khidmat masyarakat.
Kes ini mencetuskan kemarahan global dan menimbulkan persoalan mengenai penggunaan kekerasan oleh pasukan polis di New South Wales.
Pesuruhjaya Polis NSW, Karen Webb, mengakui kejadian itu sebagai “satu tragedi yang tidak sepatutnya berlaku” tetapi menegaskan bahawa dasar penggunaan Taser dan latihan pasukan polis tetap relevan serta memadai.
White, yang telah berkhidmat sebagai pegawai polis selama 12 tahun sebelum dipecat akibat sabitan kesalahan ini, menyatakan kekesalannya kepada keluarga Nowland dalam sepucuk surat permohonan maaf.
“Saya amat menyesali tindakan saya dan akibat yang teruk yang telah menimpa bukan sahaja kepada Mrs Nowland, tetapi juga keluarga serta masyarakat keseluruhannya,” katanya.