KUALA LUMPUR – Tindakan seorang jiran yang bertindak sesuka hati memecah masuk kawasan kediaman seorang wanita dan meletakkan kenderaan tanpa kebenaran mengundang kemarahan pemilik rumah berkenaan.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok @nanasmanis94, kelihatan sebuah kereta jenis Proton Waja diparkir di dalam kawasan rumah miliknya ketika dia pulang ke rumah tersebut selepas sekian lama tidak pulang.
Menurut wanita itu, rumah tersebut tidak dihuni dan hanya dikunjungi dari semasa ke semasa untuk tujuan pemeriksaan. Namun, itu bukanlah tiket untuk sesiapa pun menceroboh kawasan rumahnya.
“Rumah ini saya tidak duduk dan kosong sahaja. Kadang-kadang saya balik untuk periksa rumah. Jadi, saya kunci atau tidak kunci, dia tiada hak untuk buka dan parkir kereta tanpa minta izin di dalam kawasan rumah saya,” katanya.
Tambahnya lagi, jiran tersebut dipercayai mempunyai tiga hingga empat buah kereta yang tidak cukup ruang untuk diletakkan di kawasan rumah sendiri, menyebabkan rumah orang lain menjadi mangsa.
“Bukan setakat kereta dia letak, malah barang-barang pun dia letak di kawasan rumah orang dan jadikan sebagai stor. Bukan untuk jaga rumah daripada pencuri,” katanya dengan nada kesal.
Susulan kejadian itu, beliau menyeru orang ramai supaya mengamalkan adab dan menghormati hak milik orang lain agar tidak menimbulkan perselisihan faham dalam hubungan kejiranan.
Video tersebut turut menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang rata-rata meluahkan pengalaman mereka berdepan dengan jiran yang tidak beradab.
“Sejenis macam jiran aku juga. Sudah tahu menyewa rumah kecil, lepas itu semua kereta dia mahu bawa balik. Akhirnya, kereta-keretanya parkir bersepah dekat depan rumah orang lain,” komen @zulfadliramlee.
“Macam jiran aku juga, kadang dah nampak kereta aku dalam pagar masih parkir depan pagar rumah aku. Kita ni kalau kecemasan dah satu hal pula nak kena memanggil,” kongsi @atam_yayeeeee.
Isu seperti ini menunjukkan betapa pentingnya nilai hormat-menghormati dan batas dalam kehidupan bermasyarakat agar keharmonian kejiranan dapat dikekalkan.