Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAJENAYAHBerebut tempat minta sedekah, lelaki maut ditikam depan bank

Berebut tempat minta sedekah, lelaki maut ditikam depan bank

- Advertisement -

SHAH ALAM – Perebutan lokasi meminta sedekah bertukar tragedi apabila seorang lelaki berusia 40 tahun maut ditikam di hadapan sebuah bank di Seksyen 18 di sini, tengah hari tadi.

Mangsa yang juga seorang peminta sedekah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat ditikam beberapa kali di bahagian dada menggunakan sebilah pisau.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 12 tengah hari dan sepasukan anggota segera digerakkan ke lokasi.

“Suspek, seorang lelaki berusia 28 tahun, berjaya ditahan kira-kira setengah jam kemudian tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek yang turut datang ke kawasan itu untuk meminta sedekah telah bertengkar dengan mangsa berhubung tempat untuk beroperasi.

“Pertengkaran mulut antara mereka membawa kepada tindakan agresif apabila suspek mengeluarkan pisau dan menikam dada mangsa beberapa kali,” katanya.

Mangsa jatuh terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat.

Tambah Mohd. Iqbal, semakan ke atas suspek mendapati lelaki itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau, namun ujian saringan awal air kencing mendapati dia bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Shah Alam sekitar pukul 10 pagi esok. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Muhammad Abd Hafiz Sariee di talian 014-890 5051.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN