PEKAN – Seekor beruang matahari mencetuskan kekecohan selepas menceroboh masuk ke sebuah rumah di Taman Tanah Putih, di sini awal pagi semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pekan, Kapten (PA) Ahmad Azmi Nafiah dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku sekitar pukul 4.30 pagi ketika penghuni rumah sedang nyenyak tidur.
“Haiwan liar itu dipercayai memasuki rumah berkenaan untuk mencari makanan dan telah memecahkan beberapa barangan di dalamnya. Beruang itu kemudiannya memanjat keluar dari rumah sebelum disedari oleh penduduk,” katanya.
Tambahnya lagi, beruang berkenaan disyaki merupakan haiwan peliharaan yang terlepas daripada jagaan pemiliknya yang dipercayai tinggal di kawasan perumahan berhampiran.
Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan bantuan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pekan digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.36 pagi.
Menurut Ahmad Azmi, pihak Perhilitan telah melepaskan tembakan ubat pelali terhadap haiwan tersebut sebelum membawanya ke pejabat Perhilitan Kuantan untuk tindakan lanjut.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik sebenar beruang terbabit.