Khamis, 17 Julai 2025
UTAMAHIBURAN“Bukan harga yahudi!”, Ojen Aiwah pertahan harga kunafah di Singapura

“Bukan harga yahudi!”, Ojen Aiwah pertahan harga kunafah di Singapura

- Advertisement -
Ojen Aiwah tampil memberikan penjelasan mengenai kos perniagaannya ke Singapura.


KUALA LUMPUR – Selepas menerima kecaman hebat berhubung harga jualan kunafah di Singapura, pempengaruh media sosial dan usahawan, Ojen Aiwah tampil memberikan penjelasan mengenai kos perniagaannya di negara tersebut.
 
Menerusi satu hantaran di Instagram Story (IGs), Ojen berkongsi secara terperinci perbelanjaan yang perlu ditanggungnya bagi membawa masuk perniagaan Kunafah Aiwah ke Singapura, termasuk kos sewa tapak, logistic serta kebajikan pekerja.

Foto Instagram Ojen Aiwah

 
“Memandangkan ramai yang bertanya, saya akan jelaskan. Apa yang saya kongsikan ini adalah kos untuk tapak saya sahaja, belum termasuk makan minum staf, penginapan dan kenderaan staf, logistik, serta suntikan vaksin kepada 41 orang staf,” jelasnya.
 
Menurut Ojen, segala perbelanjaan itu dibayar menggunakan mata wang dolar Singapura (SGD), justeru, beliau tidak boleh menjual makanan tersebut dengan harga pasaran Malaysia.
 
“Saya berniaga di Singapura, takkanlah saya nak jual ikut pasaran harga di Malaysia? Kenapa perlu ‘convert’ duit itu? Saya di sini untuk cari rezeki dan saya yakin orang Singapura ramai yang baik-baik.”
 
Tambahnya, jika jualan kunafahnya habis terjual, barulah kos tersebut dapat ditampung semula, namun jika tidak, segala kerugian akan ditanggungnya sendiri.
 
Ojen turut meminta orang ramai agar tidak membuat perbandingan antara harga kunafah di Malaysia dan Singapura memandangkan usaha membawa masuk perniagaan ke luar negara melibatkan kos yang tinggi.
 
“Tolong jangan bandingkan kunafah Malaysia dan Singapura sebab kami datang jauh. Tolong ‘support’ kami semua,” katanya.
 
Di akhir hantaran, Ojen berharap agar perniagaannya mendapat sambutan yang baik serta tiada lagi istilah ‘harga Yahudi’ digunakan bagi menggambarkan harga jualannya.
 
“Saya harap orang faham. Saya bukan datang ke Singapura untuk untung besar semata-mata, tapi untuk kembangkan perniagaan dan memperkenalkan Kunafah Aiwah kepada lebih ramai orang. Jangan salah faham, kami bekerja keras di sini.”
 
Terdahulu, Ojen menerima kecaman daripada segelintir netizen Singapura yang mendakwa harga jualannya terlalu tinggi, malah ada yang melabel harga tersebut sebagai ‘harga Yahudi’.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN