TAMPIN – Isu keperluan segera dan mendesak pembinaan Hospital Tuanku Jaafar 2 di Seremban bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut turut dibangkitkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sembilan di Majlis Daerah Tampin, pada Ahad.
“Antara perkara yang menarik perhatian saya ialah keperluan segera dan mendesak pembinaan Hospital Tuanku Jaafar 2 di Seremban bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.
![]() |
Langkah membawa cadangan pembinaan hospital baharu ke peringkat tertinggi kerajaan dijangka dapat mempercepatkan kelulusan dan pelaksanaannya dalam masa terdekat. (Foto Facebook Anwar Ibrahim) |
“Justeru, saya telah meminta Ketua Setiausaha Negara untuk membawa cadangan ini ke Mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan agar ia dapat ditelaah dan dipercepatkan,” katanya dalam ucapannya sempena Majlis Berbuka Puasa di Padang Serbaguna, semalam.
Keperluan pembinaan hospital baharu ini dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat, khususnya di Negeri Sembilan.
Hospital Tuanku Jaafar, yang merupakan hospital rujukan utama di negeri, semakin berdepan tekanan ekoran peningkatan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan setiap tahun.