KUALA LUMPUR – Penyanyi rap dan usahawan, Caprice menasihatkan pasangan pempengaruh yang telah berpisah, Jofliam dan Cik Epal supaya menangani kemelut rumah tangga mereka dengan lebih matang demi kesejahteraan emosi anak-anak.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Caprice meluahkan kebimbangannya terhadap kesan pergaduhan ibu bapa terhadap anak-anak, khususnya apabila ia didedahkan secara terbuka.
“Kesian anak-anak. Setiap kali ibu bapa bergaduh antara satu sama lain, mangsa yang sebenar adalah anak-anak,” tulisnya ringkas.
Dalam satu lagi kenyataan, Caprice turut menasihatkan agar para lelaki bersikap rasional dan tidak menyukarkan urusan bekas isteri yang hanya menuntut semula barang-barang miliknya.
“Sebagai lelaki, bagi sahajalah apa yang dia tuntut yang memang barang dia. Tak kisahlah peti ais ke, pinggan ke, bag tangan ke, bagi sahajalah,” ujarnya.
Caprice turut mengingatkan bahawa kebendaan tidak sepatutnya dijadikan isu besar dalam proses perpisahan, malah menyeru agar kaum lelaki melangkah ke hadapan dan membina kehidupan baharu dengan lebih tenang.
“Kita sebagai lelaki boleh mulakan perjalanan hidup baharu, isteri baharu, beli sahaja barang baharu bukannya hang tak mampu.
“Dan bila difikirkan kembali, tiada apa pun daripada barang korang boleh bawa pun dalam kubur,” katanya.
Kenyataan Caprice itu hadir susulan pergolakan antara Jofliam dan Cik Epal yang semakin terbuka di media sosial. Baru-baru ini, Cik Epal berkongsi sebuah video dari perspektifnya sendiri mendakwa dirinya dicederakan ketika berada di rumah bekas suami.
Tidak lama kemudian, Jofliam pula memuat naik sebuah video memaparkan ketegangan yang berlaku di kediamannya, melibatkan Cik Epal dan isteri baharunya, Dewi.
Kedua-dua pihak kini dilihat saling mengemukakan bukti masing-masing, dan kemelut ini dijangka terus mencuri perhatian ramai netizen dalam masa terdekat.
Caprice, menerusi hantarannya, berharap agar mereka yang terlibat dapat menyelesaikan isu secara damai demi masa depan anak-anak yang terlibat.