KUALA LUMPUR – Seorang lelaki menerima padah apabila tindakannya merakam sekumpulan wanita secara senyap di sebuah kedai makan terbongkar dan akhirnya diseret ke balai polis oleh orang awam.
Menerusi satu hantaran video di TikTok oleh pengguna @E.ndr4, kejadian itu berlaku apabila salah seorang rakan wanita menyedari kelakuan mencurigakan lelaki terbabit lalu bertindak mendekatinya untuk bertanya sama ada dia merakam mereka.
“Dia geleng kepala dan kata tak ada, tapi saya dah rasa tak sedap hati, jadi saya teman sekali pergi tanya,” katanya.
Namun, selepas pemeriksaan dilakukan ke atas telefon lelaki itu, didapati terdapat beberapa rakaman video yang menunjukkan wanita berpakaian seksi, termasuk rakaman mereka di kedai makan berkenaan.
“Dia kata cuma satu video, tapi sebenarnya banyak. Kami perhatikan dia dari awal lagi. Saya terus rampas telefon dia sebab risau dia padam atau hantar ke mana-mana,” tambahnya.
Lebih mengejutkan, lelaki itu cuba melarikan diri selepas dipersoal, namun berjaya ditahan oleh seorang lelaki lain yang turut berada di tempat kejadian dan terus membawanya ke balai polis berdekatan.
“Dia minta maaf berkali-kali dan cuba lari tinggalkan telefon, tapi nasib baik ada abang baju hijau tolong tahan dan heret dia ke balai,” katanya lagi.
Insiden berkenaan menerima pelbagai reaksi netizen yang rata-rata memuji keberanian wanita-wanita tersebut kerana bertindak tegas dan tidak membiarkan perkara itu berlarutan.
“Suka betul perempuan yang berani macam ni, harap semua perempuan berani kalau jadi benda sama,” kata @Kishishikuraa
“Aku lelaki juga tapi takde sampai macam ni, teruk sangat dah,” kata seorang pengguna TikTok
Netizen turut menyeru agar tindakan undang-undang dikenakan ke atas pelaku bagi memberi pengajaran kepada individu lain agar tidak sewenang-wenangnya melakukan perbuatan tidak senonoh di tempat awam.