Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMANASIONALDatuk Johnny Lim cipta sejarah, Cina pertama dilantik Leftenan Jeneral ATM

Datuk Johnny Lim cipta sejarah, Cina pertama dilantik Leftenan Jeneral ATM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Datuk Johnny Lim Eng Seng, melakar sejarah tersendiri apabila menjadi individu berbangsa Cina pertama dilantik sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Majlis pemakaian pangkat tiga bintang itu telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Wisma Pertahanan semalam.

Dilahirkan di Melaka, Johnny memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Rendah dan Menengah St. Francis dari tahun 1973 hingga 1983, sebelum menyertai Tentera Darat Malaysia melalui Tauliah Jangka Tetap ke-25 (TJT 25).

Beliau kemudian meneruskan latihan ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom, sebelum ditauliahkan ke dalam Rejimen Renjer Diraja (RRD).

Menurut kenyataan ATM, pelantikan tersebut mencerminkan bahawa peluang dalam angkatan tentera adalah terbuka kepada semua kaum, dan berdasarkan kecemerlangan perkhidmatan, bukan latar belakang etnik.

“Ini juga diharapkan dapat menarik lebih ramai anggota pelbagai kaum untuk menceburkan diri dalam kerjaya keramat ini,” menurut kenyataan itu.

ATM turut menegaskan bahawa institusi itu harus terus menjadi lambang perpaduan nasional, selari dengan konsep ‘Unity in Diversity’ yang menjadi tunjang keharmonian negara.

Pelantikan Johnny Lim dianggap sebagai satu peristiwa penting dalam usaha ATM mempromosikan keterangkuman dan perpaduan dalam struktur angkatan bersenjata negara.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN