Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMANASIONALDBKL rehatkan tiga anggota penguat kuasa berhubung insiden abang belon

DBKL rehatkan tiga anggota penguat kuasa berhubung insiden abang belon

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merehatkan tiga anggota penguat kuasanya yang terlibat dalam insiden membabitkan seorang peniaga belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada malam kelmarin.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif berkata, tindakan tersebut diambil bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman yang sedang dijalankan oleh pihak DBKL.

Beliau turut menegaskan bahawa langkah itu juga bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara bebas, telus dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan pihak lain.

“Keputusan ini juga turut dibincang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.

“DBKL memandang serius kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku dalam kalangan warga kerja. Jika didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan diambil terutama dalam memastikan integriti dan kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, DBKL kekal berpegang teguh kepada prinsip tadbir urus yang berintegriti, bertanggungjawab dan berasaskan keadilan untuk semua pihak.

“Sebarang keputusan akan ditentukan setelah siasatan penuh selesai,” ujarnya.

DBKL Lawat Peniaga Belon, Timbang Kos Rawatan

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Dr. Maimunah memaklumkan bahawa Pengarah Eksekutif (Sosio Ekonomi) dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL telah menziarahi peniaga belon terbabit, Muhamad Za’imuddin Azlan, yang kini menerima rawatan di hospital.

Selain itu, DBKL juga sedang mempertimbangkan untuk menanggung kos rawatan Muhamad Za’imuddin sepanjang tempoh pemulihannya, tertakluk kepada semakan lanjut dan keperluan perubatan semasa.

“Kami menyeru agar semua pihak mengelak daripada membuat sebarang spekulasi bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini,” katanya.

Sebelum ini, media sosial kecoh dengan video yang memaparkan pergelutan antara seorang peniaga belon dan anggota penguat kuasa DBKL di Jalan TAR. Insiden itu mendapat pelbagai reaksi daripada orang awam serta menarik perhatian beberapa pemimpin negara.

DBKL dalam kenyataannya sebelum ini menjelaskan bahawa peniaga belon tersebut telah diberikan teguran sebanyak tiga kali untuk beredar sebelum bertindak agresif dengan menolak anggota penguat kuasa.

Menurut DBKL, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 11.50 malam ketika rondaan berkala dilakukan. Anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas telah mengesan kehadiran beberapa penjaja tanpa lesen di laluan pejalan kaki Jalan TAR.

“Sebahagian besar penjaja tanpa lesen memberikan kerjasama dengan beredar dari kawasan tersebut, namun keadaan berbeza dengan peniaga belon berkenaan,” kata DBKL dalam kenyataan itu.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan tindakan seterusnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN