KUALA LUMPUR – Aktres tersohor Bollywood, Deepika Padukone mencipta sejarah apabila diumumkan sebagai pelakon pertama dari India yang akan menerima penghormatan dengan namanya diabadikan di Hollywood Walk of Fame di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Deepika tersenarai bersama 35 selebriti antarabangsa lain yang akan menerima pengiktirafan itu pada tahun 2026, menurut pengumuman rasmi The Hollywood Chamber of Commerce.
Antara nama besar lain yang turut menerima penghargaan sama ialah Demi Moore, Rachel McAdams, Emily Blunt, Timothée Chalamet, Rami Malek dan Stanley Tucci.
Deepika yang memulakan kerjaya lakonan menerusi filem ikonik Om Shanti Om pada tahun 2007 menyatakan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut menerusi hantaran ringkas di Instagram dengan kapsyen, “Gratitude.”
Namun begitu, pencapaiannya turut mengundang reaksi bercampur daripada netizen, khususnya berkenaan sumbangannya dalam industri filem Hollywood. Sebahagian warganet mempersoalkan kelayakannya kerana Deepika hanya pernah membintangi satu filem Hollywood, XXX: Return of Xander Cage (2017), di samping aktor terkenal Vin Diesel.
Sesetengah pihak pula berpendapat bahawa pelakon Priyanka Chopra lebih layak menerima pengiktirafan tersebut atas penglibatan aktifnya dalam pelbagai filem dan siri TV antarabangsa.
Terdapat juga dakwaan tidak berasas yang mengatakan Deepika membayar sejumlah wang untuk mendapatkan tempat di Walk of Fame, namun laporan rasmi menjelaskan bahawa pemilihan dibuat berdasarkan saringan ketat oleh barisan juri profesional daripada ratusan pencalonan seluruh dunia.
Deepika kini merupakan wajah antarabangsa bagi jenama mewah seperti Louis Vuitton dan Cartier, selain pernah menjadi penyampai anugerah di Academy Awards 2023 dan pembawa trofi Piala Dunia FIFA 2022.
Pengiktirafan ini dianggap sebagai pencapaian gemilang bukan sahaja buat Deepika, tetapi juga buat industri seni India yang semakin mendapat tempat di peringkat global.