PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil peluang masa lapangnya semalam untuk membawa cucu-cucunya melawat pejabat beliau di Putrajaya.
Dalam satu hantaran di laman X, Anwar berkata lawatan itu dilakukan selepas menerima rungutan daripada cucu-cucunya yang berasa kecewa kerana beliau jarang berada di rumah.
“Cucu merungut kenapa saya jarang di rumah. Depa (mereka) tak tahu tugas untuk negara tidak mudah. Lantaran itu saya bawa depa mai (datang) pejabat tengok saya bekerja,” katanya ringkas dalam hantaran tersebut.
Turut disertakan beberapa keping gambar yang memaparkan beliau sedang berbual dan meluangkan masa bersama cucu-cucunya di ruang pejabatnya.
Tinjauan di ruang komen mendapati ramai warga maya meluahkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas komitmen Anwar dalam menerajui negara.
“Terima kasih PMX selama lebih dua tahun mengabdikan diri kerja dan kerja untuk Malaysia. Semoga diberi kesihatan yang baik dan Malaysia berada dalam keberkatan,” tulis Wan Ahmad.
“Alhamdulillah, semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati kehidupan PMX dan Malaysia,” tulis Ahmad Puaat.
“Terbaik, bagi semangat untuk cucu menjadi pemimpin yang baik,” tulis Ag Mohd.
Lawatan mesra itu dilihat sebagai usaha Anwar mengimbangi tanggungjawab besar sebagai Perdana Menteri dengan peranan sebagai datuk kepada cucu-cucunya, sekaligus memperlihatkan sisi kemanusiaan seorang pemimpin yang dekat dengan keluarga.