KUALA LUMPUR – Individu yang mempunyai desakan seksual melampau terhadap wanita mengandung atau dikenali sebagai maiesiophilia, disarankan mendapatkan rawatan segera bagi mengelakkan mereka terlibat dalam jenayah.
Pengasas Mental Kuat Centre, Amirul Ramli berkata, apabila kecenderungan ini sudah sampai ke tahap ketagihan, ia menunjukkan berlaku gangguan pada bahagian nucleus accumbens dalam otak yang mengawal sistem ganjaran dan keseronokan.
“Apabila sistem dopamin telah ‘dihijack’, otak akan terus mencari rangsangan tanpa kawalan rasional, menyebabkan individu berkenaan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kepuasan, termasuk pergi ke tempat awam,” jelasnya menerusi video di TikTok.
Tambah beliau, keinginan seksual berbeza dengan penyalahgunaan bahan kerana ia bersumber daripada dalaman (internal desire), justeru lebih mencabar untuk dikawal tanpa intervensi profesional.
Amirul memberi peringatan agar kecenderungan ini tidak dibiarkan berlarutan kerana lama-kelamaan ia boleh menyebabkan individu terbabit terdorong melakukan jenayah serius.
Semalam MYBERITA melaporkan insiden yang tular dimana seorang wanita diekori dan dirakam oleh seorang lelaki berbaju kuning ketika membeli-belah bersama keluarganya di sebuah pasar raya di Seremban 2, Negeri Sembilan.
Wanita berkenaan bertindak berani menghampiri lelaki berbaju kuning itu sebelum pemeriksaan ke atas telefonnya mendedahkan pelbagai gambar wanita berpurdah dan mengandung, termasuk dirinya.
Insiden tersebut mencetuskan kebimbangan ramai terhadap isu keselamatan dan gangguan seksual di tempat awam, khususnya terhadap wanita hamil.
@amirul.ramli Seorang lelaki melakukan aktiviti tidak bermoral mengambil video wanita mengandung dalam kejadian sebuah pasar raya di Seremban.
♬ original sound – AmirulRamli | MentalHealth