SERDANG – Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini meluangkan masa melawat mangsa kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, yang sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah.
Beliau tiba pada jam 4.46 petang dan disambut oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sebelum menziarahi 28 mangsa di wad hospital tersebut. Lawatan selama sejam itu turut menyaksikan beliau bertanyakan keadaan mangsa serta memberi sokongan kepada keluarga mereka.
Menurut data terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seramai 28 mangsa menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, manakala 24 dirawat di Hospital Cyberjaya, 13 di Hospital Putrajaya, dan dua di Hospital Ampang.
Selain itu, 37 lagi mangsa sedang mendapatkan rawatan di lima hospital swasta, termasuk 22 di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), lapan di Subang Medical Centre, lima di Hospital Avisena, dan seorang di Hospital Thomson.
Setakat ini, 41 mangsa telah dibenarkan keluar selepas menerima rawatan.