KUALA LUMPUR – Dua beregu lelaki utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus menggalas cabaran Malaysia di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 apabila masing-masing mara ke peringkat suku akhir hari ini.
Dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, pasangan Sze Fei-Izzuddin tampil garang apabila menundukkan beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Kittinupong Kedren dengan keputusan straight set 21-18, 22-20.
Kemenangan itu turut menebus kekalahan mereka kepada pasangan sama pada pusingan pertama Terbuka Denmark tahun lalu, sekali gus membuktikan kematangan dan peningkatan prestasi gandingan profesional negara itu.
Turun selaku pilihan utama kejohanan, Sze Fei-Izzuddin kini berada pada landasan terbaik untuk mengulangi pencapaian cemerlang mereka musim lalu apabila berjaya mara ke final dan muncul naib juara.
Sementara itu, pasangan beregu utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik turut tidak berdepan masalah untuk mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan gandingan India, Hariharan Amsakarunan-R.K. Rethinasabapathi 21-15, 21-14 dalam masa 37 minit.
Bekas juara dunia itu kini semakin hampir untuk menyamai pencapaian edisi lalu yang menyaksikan mereka mara ke separuh akhir sebelum tewas kepada rakan sepasukan, Sze Fei-Izzuddin.
Bagi aksi suku akhir esok, Sze Fei-Izzuddin akan berdepan tentangan wakil tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi manakala Aaron-Wooi Yik bakal membuat perhitungan getir menentang beregu handalan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Dalam pada itu, dua lagi wakil negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Wan Arif Junaidi-Yap Roy King terpaksa akur dengan kekalahan di pusingan kedua dan gagal meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya.