Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAJENAYAHDua lelaki komen lucah terhadap bayi perempuan di Facebook didenda RM3,000

Dua lelaki komen lucah terhadap bayi perempuan di Facebook didenda RM3,000

- Advertisement -

SEPANG – Dua lelaki masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik komen berunsur lucah melalui aplikasi media sosial tiga tahun lalu.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shahrulamin Abdullah, 41, dan Mohd Rasul Abd Razak, 44, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mereka membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua mereka dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Kedua-dua OKS didakwa secara sedar membuat serta memulakan penghantaran komunikasi bersifat lucah menerusi aplikasi Facebook berhubung satu hantaran portal berita mengenai bayi perempuan seorang doktor pakar Malaysia yang berkhidmat di United Kingdom.

Mohd Shahrulamin didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10 malam, 20 Disember 2022, manakala Mohd Rasul melakukan kesalahan sama pada jam 4.30 petang, 29 Disember 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau tambahan denda RM1,000 sehari jika kesalahan itu diteruskan, atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, Hakim Ahmad Fuad memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak membuat komen yang boleh menimbulkan kekacauan serta kemarahan masyarakat, khususnya membabitkan isu lucah dan berkaitan 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

“Nilai kesopanan dan kesusilaan harus sentiasa dipelihara ketika menggunakan media sosial,” tegas beliau.

Sementara itu, seorang lagi OKS, Mohd Nasir Kadir, 57, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat hantaran berunsur lucah berkaitan isu sama pada jam 10.29 malam, 15 Disember 2022.

Mahkamah menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula kes Mohd Nasir, dengan jaminan RM3,000.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Nur Nazhzilah Mohammad Hashim, manakala ketiga-tiga OKS tidak diwakili peguam.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN