Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMADUNIAEda Ezrin ditahan sebulan lagi di penjara Narathiwat

Eda Ezrin ditahan sebulan lagi di penjara Narathiwat

- Advertisement -

NARATHIWAT — Penyanyi, Bea Sobar Bea, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, bersama suami dan empat lagi rakannya akan terus ditahan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat sekurang-kurangnya sebulan lagi, bermula hari ini.

Keputusan tersebut dibuat selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat menerima permohonan daripada Pendakwa Raya Wilayah untuk melanjutkan tempoh mengemukakan rayuan terhadap keputusan membebaskan kesemua enam individu itu daripada pertuduhan memiliki dadah.

Memetik laporan portal apakhabartv.com, jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat mengesahkan bahawa permohonan tersebut difailkan oleh pihak pendakwa raya pada 2 April lalu.

“Menurut rekod dalam sistem komputer mahkamah, pihak pendakwa raya memfailkan permohonan lanjutan tempoh rayuan yang sepatutnya berakhir pada 6 April ini.

“Mereka memohon tempoh lanjutan selama sebulan atas alasan ingin mengumpulkan lebih banyak bukti bagi mengaitkan kesemua tertuduh dengan dakwaan memiliki secara bersama 6,059 biji pil kuda untuk tujuan jualan,” katanya.

Sekiranya permohonan tersebut diterima, kes Eda Ezrin dan rakan-rakannya akan dibawa ke Mahkamah Rayuan Narathiwat untuk dibicarakan semula.

Untuk rekod, sistem kehakiman Thailand terdiri daripada tiga peringkat iaitu Mahkamah Tahap Pertama, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Agung. Dalam keadaan tertentu, Raja Thailand mempunyai kuasa untuk memberi pengampunan kepada banduan yang telah menjalani sekurang-kurangnya tiga tahun hukuman penjara.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan dan Latihan Penjara Pusat Narathiwat, Somsak Paddeang ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang makluman rasmi berkenaan pembebasan enam tertuduh terbabit.

“Kami tidak tahu-menahu tentang sebarang pembebasan. Pihak penjara hanya akan dimaklumkan kira-kira sejam sebelum seseorang banduan dibebaskan. Setakat ini, tiada apa-apa makluman yang kami terima,” katanya.

Sebelum ini, MYBERITA melaporkan bahawa Eda Ezrin, suaminya serta empat rakan mereka telah dibebaskan daripada pertuduhan memiliki pil kuda dalam satu keputusan Mahkamah Wilayah Narathiwat selepas prosiding perbicaraan pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.

Keputusan itu dibuat selepas dua panel hakim meneliti semua keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan.

Namun, di sebalik keputusan pembebasan itu, keenam-enam tertuduh tetap perlu kembali ke penjara untuk memberi laluan kepada proses rayuan pihak pendakwaan.

Peguam bela Eda Ezrin, Sufian Abdul Aziz berkata, pendakwa raya masih mempunyai tempoh antara satu hingga empat bulan untuk mengemukakan rayuan secara rasmi di mahkamah.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN