Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAHIBURANEllie Suriaty tuntut permohonan maaf, beri tempoh sehingga April

Ellie Suriaty tuntut permohonan maaf, beri tempoh sehingga April

- Advertisement -
Menurut Ellie, 54, sekiranya tiada tindakan daripada pihak Imran, beliau tidak akan teragak-agak untuk membawa isu ini ke pihak yang lebih berautoriti untuk tindakan lanjut. (Foto MYBERITA)


KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal, Ellie Suriaty Omar, menegaskan bahawa beliau memberi tempoh sehingga April ini bagi pempengaruh media sosial, Imran Bard, untuk membuat permohonan maaf secara bersemuka berhubung dakwaan mencalarkan imejnya sebagai penggiat seni.
 
Menurut Ellie, 54, sekiranya tiada tindakan daripada pihak Imran, beliau tidak akan teragak-agak untuk membawa isu ini ke pihak yang lebih berautoriti untuk tindakan lanjut.
 
“Saya tidak akan membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja kerana ia melibatkan masyarakat. Pempengaruh mempunyai pengaruh yang besar dan dalam kes saya ini, kesannya lebih kepada negatif kerana saya menerima pelbagai mesej berunsur penghinaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sidang media dan Majlis Tayangan Program Raya Astro 2025, di Bandar Utama, malam tadi.
 
Antara mesej yang diterima termasuk panggilan negatif seperti ‘sundal’, ‘rupa buruk’, ‘pelakon sendu’ dan pelbagai lagi konotasi buruk yang menjejaskan reputasi Ellie.
 
Ellie menjelaskan bahawa beliau pada awalnya sudah memberi ruang kepada Imran untuk berjumpa dengannya sebelum bulan Ramadan, namun pempengaruh itu mendakwa berada di kampung. Justeru, beliau memberikan tempoh sehingga hari raya untuk pertemuan tersebut.
 
“Kalau dia masih berdegil, saya akan serahkan kepada Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) untuk tindakan selanjutnya,” tegasnya.
 
Pelakon filem Memoir Seorang Guru itu turut menyatakan bahawa wang ringgit tidak mampu menebus maruahnya yang tercalar akibat perbuatan Imran.
 
“Selama tiga dekad saya bekerja keras untuk berada di kedudukan ini. Reputasi yang saya bina tercalar hanya kerana satu video yang dimuat naiknya.
 
“Adakah nilai saya boleh ditetapkan dengan RM200,000, RM500,000 atau RM1 juta? Saya adalah anugerah Allah SWT,” katanya.
  
Dalam pada itu, Ellie turut menegaskan kepentingan adab dalam meminta maaf, di mana menurutnya permohonan maaf tidak sepatutnya dilakukan melalui telefon.
 
“Agama Islam tidak mengajar kita untuk meminta maaf melalui telefon. Jika benar-benar ingin meminta maaf, perlu bersemuka dengan individu yang telah disakiti.
 
“Jika dia (Imran) meminta maaf nanti, saya akan menilai sama ada permohonan itu dibuat dengan ikhlas atau sekadar untuk mengelak kecaman,” ujarnya.
 
Sebelum ini, Ellie menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa Imran berhubung dua hantaran video di TikTok yang didakwa berunsur fitnah dan mencalarkan namanya.

Dalam kandungan video tersebut, Imran berseloroh seolah-olah menjadi juri sebuah pertandingan nyanyian dan mengaitkan nama Ellie dengan bahan terlarang.
 
Tidak lama selepas itu, Imran telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan menjelaskan bahawa penyebutan nama Ellie berlaku secara spontan tanpa niat jahat, tetapi didorong oleh minatnya terhadap aktres berkenaan.
Iklan
ARTIKEL BERKAITAN