- Advertisement -
 |
Elly berkata setiap manusia tidak lari daripada membuat kesilapan. |
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein, turut bersimpati dengan nasib tiga penyampai sebuah stesen radio yang digantung tugas susulan isu didakwa mempersenda agama Hindu.
Elly atau nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, berkata setiap manusia tidak lari daripada berbuat silap, justeru mereka bertiga berhak diberi peluang selepas tampil memohon maaf secara terbuka.
“Sebagai sahabat kepada mereka, saya sangat simpati dengan apa yang telah terjadi. Saya memuji keberanian mereka untuk tampil memohon maaf dengan segera.
“Saya mendoakan yang terbaik untuk mereka. Walau apa pun, kita semua manusia biasa, tidak sempurna dan tidak lari daripada berbuat silap.
“Saya tahu mereka tiada niat ke arah itu (mempersenda agama), ini mungkin hanya kesilapan teknikal sahaja dan salah faham,” katanya.
Elly berkata demikian ketika ditemui di sidang media dan tayangan perdana Astro Raya 2025 yang berlangsung di Bandar Utama, Selangor, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Elly turut mengulas mengenai permintaan orang ramai yang mahu dia menggantikan slot tiga penyampai radio berkenaan. Bagaimanapun, beliau menjelaskan mempunyai kekangan masa dan jadual kerja yang padat.
“Saya mempunyai jadual yang sudah ditetapkan dan agak padat selain kekangan masa. Untuk saya mengambil slot pagi agak sukar.
“Kalau bukan saya, masih ada lagi penyampai radio hebat yang lain yang boleh menggantikan tempat tiga penyampai itu,” jelasnya.
Mengambil iktibar daripada insiden yang berlaku, pelantun lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu berpesan kepada diri sendiri agar sentiasa menjaga tutur kata dan menghormati sensitiviti kaum lain.
“Apa yang berlaku ini juga memberi pengajaran kepada saya supaya sentiasa berhati-hati dan peka.
“Pengajaran yang boleh diambil adalah kita perlu menjaga sensitiviti dan menghormati kaum lain serta sentiasa profesional. Ingat bahawa kita hidup dalam sebuah negara yang berbilang bangsa dan kaum,” katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan salah seorang penyampai radio didakwa meniru tarian kavadi sambil salah seorangnya menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa. Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana didakwa menghina tradisi kaum Hindu.
Sedar akan kesilapan yang dilakukan, tiga penyampai radio berkenaan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Susulan insiden tersebut, syarikat stesen radio berkenaan, Maestra Broadcast Sdn Bhd, telah dikenakan kompaun sebanyak RM250,000 mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau.
Bagaimanapun, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memutuskan untuk tidak menggantung lesen stesen radio terbabit.
Iklan