SEPANG – Empat alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini melakar sejarah peribadi apabila dipilih menyertai program mobiliti antarabangsa selama sebulan di China, bagi mengajar Bahasa Inggeris dan mempromosikan budaya Malaysia di peringkat global.
Program anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UPSI dengan kerjasama Shangqiu Science and Technology Professional School di Henan itu berlangsung dari 12 Mei hingga 11 Jun 2025.
Lebih membanggakan, keempat-empat peserta, Tharushiny Francis Xaviar, Farah Nur Izzah Abdul Rahman, Hamidah Kifran dan Nur Hafiza Rusli, merupakan graduan program Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) UPSI, yang sebelum ini sering mendapat perhatian majikan dalam dan luar negara.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff menyifatkan pemilihan ini bukan sekadar kejayaan peribadi peserta, malah membuktikan kualiti akademik UPSI semakin diyakini di peringkat antarabangsa.
“Ini lebih daripada program latihan mengajar, ia adalah pengiktirafan terhadap keupayaan graduan kita untuk menyumbang kepada pendidikan global. Mereka bukan hanya mengajar, tetapi membawa nama Malaysia dan UPSI ke pentas antarabangsa,” ujar beliau.
Selain tugasan mengajar, keempat-empat alumni juga bakal menyertai aktiviti kokurikulum bahasa serta memperkenalkan warisan budaya Malaysia kepada komuniti sekolah di China.
Dua pensyarah kanan FBK, Dr Farah Natchiar Mohd Khaja Hameed Maricar dan Azura Mat Said turut menyertai program ini sebagai penyelia akademik, di samping memperkukuh jalinan kerjasama dua hala antara kedua-dua institusi.
Menurut Profesor Datuk Dr. Md Amin, hubungan strategik ini akan membuka lebih banyak peluang penyelidikan, pertukaran akademik dan program pembangunan profesional bagi kedua-dua pihak.
Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus Mohd Said berkata, penyertaan alumni dalam platform antarabangsa merupakan langkah besar dalam usaha memposisikan UPSI sebagai universiti pendidikan bertaraf dunia.
“Mereka bukan hanya mewakili UPSI, tetapi juga membawa naratif baharu tentang kehebatan sistem pendidikan Malaysia. Interaksi mereka bersama pelajar dan pendidik luar negara secara tidak langsung menjadi promosi terbaik buat universiti dan negara,” katanya kepada MYBERITA.
Tambah beliau, fasiliti lengkap yang disediakan oleh pihak sekolah di China, termasuk kampus digital, perpustakaan moden dan pusat latihan canggih, turut menyumbang kepada pengalaman pengajaran yang lebih bermakna buat peserta.
“Inilah yang kita gelar sebagai diplomasi pendidikan – membina hubungan antarabangsa melalui ilmu dan budaya,” ujar beliau.