KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenakan kompaun sebanyak RM250,000 terhadap Maestra Broadcast Sdn Bhd akibat penyiaran kandungan jelik melampau di akaun TikTok Era FM.
Tindakan itu diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang telah dipinda pada 11 Februari 2025. Kompaun tersebut dikeluarkan dengan kelulusan Jabatan Peguam Negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC menjelaskan bahawa pihaknya tidak akan menggantung lesen penyiaran Maestra Broadcast Sdn Bhd, pengendali Era FM, selepas meneliti rayuan syarikat itu terhadap notis penggantungan yang dikeluarkan pada 7 Mac lalu.
Menurut MCMC, keputusan untuk tidak menggantung lesen tersebut dibuat setelah mempertimbangkan beberapa faktor, termasuk hujah dalam rayuan, tindakan pemulihan yang telah diambil oleh pemegang lesen, serta permohonan maaf rasmi daripada pihak yang terlibat.
Selain itu, MCMC juga mengambil kira kesan penggantungan terhadap stesen radio lain seperti Melody FM dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama.
Suruhanjaya itu turut menegaskan komitmennya dalam menangani kandungan dalam talian yang boleh mencetuskan ketegangan agama atau mengganggu keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
MCMC mengingatkan semua penyiar dan pengguna platform dalam talian agar sentiasa bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum dan agama serta mematuhi undang-undang negara bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.