KUALA LUMPUR – Tindakan pelakon popular, Fattah Amin melawat penyanyi Amira Othman yang sedang menerima rawatan akibat keracunan makanan di hospital terus mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat dan netizen.
Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, mengundang perhatian ramai selepas berkongsi sekeping gambar Amira memegang sejambak bunga yang dipercayai pemberiannya menerusi satu hantaran di Instagram.
“Semoga cepat sembuh rakan sekerja, Amira Othman.”
Hantaran itu turut diiringi dengan lagu Sampai Akhir nyanyian Judika sebagai muzik latar, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa mereka berdua sedang menjalinkan hubungan istimewa.
Ruangan komen di platform berkenaan turut dibanjiri dengan ribuan reaksi netizen, yang bukan sahaja mendoakan kesihatan Amira, malah mengusik manisnya interaksi antara dua selebriti itu.
“Kalau macam ini manisnya, kami yang tengok dan baca pun boleh masuk hospital sebab paras gula terlalu tinggi dalam badan.”
“Mesti Amira terus sihat bila lihat Fattah muat naik hantaran ini.”
“Rakan sekerja saya tak pernah pun ucap begini, ini kategori istimewa,” seloroh beberapa pengguna media sosial.
Sebelum ini, Fattah pernah menafikan desas-desus yang mendakwa dia bakal berkahwin dengan Amira pada 25 Mei lalu. Menurut pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu, tarikh yang tersebar tidak benar dan dia belum merancang untuk menamatkan zaman dudanya.
Hubungan antara Fattah dan Amira mula menjadi bualan sejak penghujung tahun lalu selepas beberapa foto serta momen mesra mereka tular di media sosial. Namun, kedua-duanya sepakat menyatakan bahawa hubungan mereka sekadar profesional sebagai ‘rakan sekerja’.