KUALA LUMPUR – Pelakon, Fattah Amin sudah menyediakan duit raya buat puteri kesayangannya, Nur Fatima Aisya, sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Menurut Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, selain duit raya, dia juga akan membeli-belah baju raya bersama anak perempuannya itu sebagai persiapan Syawal.
“Duit raya sudah tentu ada untuk anak saya. Saya juga akan bawa Fatima pergi ‘shopping’ baju raya,” katanya kepada MYBERITA ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam pada itu, Fattah meluahkan rasa teruja untuk meluangkan masa bersama Fatima pada Aidilfitri kali ini dan turut merancang untuk membawa anaknya bercuti.
“Tahun ini Fatima akan beraya bersama saya bermula raya ketiga dan keempat. Memang saya tak sabar nak luangkan masa bersama Fatima raya ini.
“Saya rancang nak bawa dia berjalan-jalan jauh sikit, mungkin ke luar negara. Bagaimanapun, perkara itu saya akan bincang dengan Fazura terlebih dahulu. Insya-Allah, doa yang baik-baik,” katanya.
Tambah pelakon drama Keluarga itu lagi, dia akan menggunakan cuti raya ini untuk berehat selepas jadual kerja yang padat sejak kebelakangan ini.
“Memang saya agak sibuk kebelakangan ini. Raya ini saya akan cuti seminggu. Inilah waktunya untuk saya ‘me time’ selepas penat bekerja,” ujarnya.