Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMAHIBURANFattah terharu Biduanita Negara komen tentang hubungannya dengan Amira

Fattah terharu Biduanita Negara komen tentang hubungannya dengan Amira

- Advertisement -

SHAH ALAM – Pelakon terkenal, Fattah Amin, meluahkan rasa gembira apabila namanya dan Amira Othman mendapat perhatian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Kejutan itu berlaku apabila Siti meninggalkan komen dalam sesi siaran langsung yang diadakan oleh pasangan duta jenama pakaian berkenaan.

Dalam komen tersebut, penyanyi nombor satu negara itu mengucapkan selamat pengantin baharu serta menyatakan kesudian untuk menyanyi di majlis perkahwinan Amira, sekali gus mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat.

Fattah menganggap komen Siti sekadar gurauan dan memilih untuk tidak mengulas lanjut.

“Sebenarnya ketika itu saya tak boleh baca komen daripada TokTi. Bila Amira beritahu saya tentang komen itu, saya macam blur. Jadi, saya tak tahu nak respons macam mana.

“Tetapi seperti yang selalu saya katakan, di bulan Ramadan yang mulia ini, kita perbanyakkan cakap yang baik-baik dan doa yang baik-baik. Saya baca komen ramai yang memberi kata-kata positif, termasuklah daripada TokTi sendiri.

“Bila kita dapat menggembirakan orang lain, kita pun rasa gembira,” katanya kepada MYBERITA ketika ditemui di sebuah majlis iftar bersama barisan pelakon drama Keluarga Itu.

Mengulas mengenai perhatian yang diberikan terhadap hubungannya dengan Amira, Fattah hanya tersenyum dan mengakui berasa gembira apabila rakan-rakan artis bercakap baik tentang dirinya.

“Saya dan Amira hanyalah rakan sekerja yang bertugas sebagai duta untuk satu jenama pakaian. Doakan sahaja yang baik-baik,” ujarnya.

Sebelum ini, hubungan Fattah dan Amira mula menjadi bualan sejak hujung tahun lalu apabila mereka sering tampil sedondon ketika mempromosikan jenama pakaian raya terkenal. Namun, Fattah menafikan khabar angin bahawa dia bakal menamatkan zaman dudanya bersama Amira dalam masa terdekat.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN