KUALA LUMPUR – Kesedihan menyelubungi pelakon Faye Kusairi apabila beberapa hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri, kereta kesayangannya jenis Proton Exora musnah selepas dihempap runtuhan bumbung balkoni di kondominium tempat tinggalnya.
Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 38, berkata bukan sahaja kenderaannya, malah beberapa kenderaan milik jiran turut mengalami kerosakan akibat kejadian tersebut.
“Sekitar pukul 4 petang Rabu, salah satu bumbung balkoni dari tingkat tiga bangunan kondominium kami roboh, besar kemungkinan kerana kayunya sudah reput atau terlalu lama,” katanya menerusi satu perkongsian di Instagram.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan pelbagai jenis konkrit berat dan kayu jatuh menimpa kenderaannya serta beberapa kereta lain yang diparkir berdekatan.
Walaupun reda dengan insiden itu, Faye mengakui sedih melihat keadaan kenderaan yang banyak berjasa dalam urusan hariannya mengalami kerosakan teruk.
“Mana lagi dah dekat raya, perlukan banyak wang. Saya juga lambat lagi nak masuk set penggambaran baru, jadi sumber pendapatan utama terjejas.
“Perniagaan pun kurang mendapat sambutan semasa Ramadan ini. Nasi ayam yang saya jual lebih sesuai untuk makan tengah hari, bukan malam,” luahnya.
Faye turut meluahkan kebimbangannya kerana kenderaan itu amat penting untuk urusan harian termasuk menghantar anak ke sekolah dan pulang ke kampung untuk beraya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi liar termasuk menuduh dirinya berhutang dengan pemberi pinjaman tidak berlesen sehingga menyebabkan kejadian itu berlaku akibat perbuatan khianat.
“Usahlah buat andaian yang bukan-bukan seperti hutang along atau ada orang berniat jahat. Saya ini jenis yang tidak suka menyusahkan orang dan hanya fokus pada kehidupan sendiri.
“Saya hanya mahu meneruskan hidup seperti biasa,” katanya lagi.