KUALA LUMPUR – Susulan dakwaan sebuah syarikat pengilang tudung bahawa syarikat milik pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura Sharifuddin, 42, berhutang hampir RM4.65 juta, selebriti itu memilih untuk tidak mengulas lanjut dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak peguam untuk tindakan lanjut.
Menurut Fazura, meskipun dirinya sinonim dengan jenama perniagaan berkenaan, beliau menegaskan bahawa dirinya dan syarikat adalah dua entiti berbeza yang tidak wajar disamakan dalam hal pengurusan perniagaan.
“Fazura dan syarikat adalah dua entiti berbeza. Tentang syarikat saya tak boleh nak komen banyak kerana urusan syarikat. Apa yang berlaku dalam syarikat, saya tak boleh kongsikan.
“Saya harap orang faham bahawa Fazura berbeza daripada syarikat. Cabaran dalam perniagaan adalah perkara biasa dan saya rasa semua usahawan pasti pernah melaluinya,” katanya ketika ditemui pada pelancaran lagu Luar Biasa, semalam.
Fazura turut mengakui isu berkenaan sedikit sebanyak memberi kesan terhadap reputasi serta perniagaannya, namun memilih untuk kekal positif dan menganggap ia sebagai lumrah dunia keusahawanan.
“Sudah tentu saya terkesan, saya pun manusia biasa yang ada perasaan. Tapi saya faham, itu adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan.
“Hanya yang pernah berniaga sahaja akan faham perkara-perkara seperti ini. Kalau nak jelaskan pun mungkin orang tak akan faham, mungkin akan diputarbelit,” jelasnya.
Dalam usaha menjaga kesihatan mental, bintang filem Pisau Cukur itu berkata beliau mengambil pendekatan untuk menjauhkan diri daripada membaca komen-komen negatif di media sosial.
“Saya memang tak baca media sosial, tak tengok TikTok. Sekarang saya cuma aktif di Threads kerana ia lebih positif.
“Malah orang sekeliling saya pun tahu, mereka tak dibenarkan beri apa-apa info kepada saya sebab saya tak nak tahu. Saya nak hidup dengan tenang, nak gembira, dan nak terus fokus kepada kerjaya, perniagaan dan membesarkan anak saya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Obor Holding Sdn. Bhd., pemilik kilang Feline Malaysia, mendakwa syarikat Pink Fate Sdn. Bhd. – yang diketahui umum diasaskan bersama oleh Fazura – masih berhutang sebanyak RM4.65 juta.
Menurut kenyataan Obor Holding, tudung bernilai RM7.3 juta telah dibekalkan kepada Pink Fate sejak Jun 2022, namun syarikat itu hanya membayar RM2.68 juta setakat ini. Kesukaran dalam kutipan bayaran dikatakan bermula sejak Disember 2023.