SERDANG – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperluas pengaruh akademiknya dengan menganjurkan The 4th International Conference on Deep Sciences for Computing and Communication (ICONDEEPCOM 2025) pada 29 dan 30 April 2025 di Dewan Abdul Azim, FSKTM UPM.
Persidangan ini adalah hasil kerjasama strategik antara UPM dan SRM Institute of Science and Technology, India. Perlaksanaan persidangan ini menandakan pencapaian penting bagi UPM dalam usaha memperkasa rangkaian penyelidikan antarabangsa, serta mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan pengkomputeran mendalam di peringkat global.
Dekan FSKTM, Datuk Prof. Dr. Shamala K. Subramaniam, menyatakan bahawa kerjasama ini menggambarkan komitmen UPM untuk terus memimpin dalam penyelidikan bertaraf dunia.
“Kerjasama dengan institusi seperti SRM Institute membuka lebih banyak peluang untuk UPM mendahului penyelidikan dalam bidang termaju. Penganjuran bersama ICONDEEPCOM 2025 adalah sejajar dengan aspirasi UPM melalui inisiatif ‘True North’ untuk memupuk kecemerlangan global dan mengukuhkan jaringan antarabangsa,” ujarnya.
Selain itu, ICONDEEPCOM 2025 turut mencerminkan usaha berterusan UPM untuk mengukuhkan peranan Malaysia dalam landskap teknologi dan inovasi dunia.
Majlis perasmian persidangan ini turut diserikan dengan kehadiran delegasi daripada SRM Institute serta pengurusan FSKTM UPM, membuka lembaran kerjasama baru yang berpotensi besar dalam bidang penyelidikan dan inovasi teknologi.
Sepanjang dua hari persidangan, para peserta dari pelbagai negara, termasuk penyelidik, pelajar dan pakar industri, berkongsi hasil kajian terkini dalam topik-topik seperti pembelajaran mendalam, komunikasi pintar, sains data lanjutan dan keselamatan siber.
Penganjuran ini turut merangsang kerjasama dalam penulisan jurnal bersama, penyeliaan pelajar penyelidikan dan pembangunan geran penyelidikan antarabangsa.
Dengan menjadi tuan rumah bagi persidangan seperti ICONDEEPCOM, UPM bukan sahaja menonjolkan kekuatan akademik dan teknologinya, tetapi turut membina ekosistem penyelidikan global yang inklusif dan memberi impak tinggi.