Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, memuji inisiatif PSA dalam memperkenalkan program berkenaan yang dilihat sejajar dengan tradisi cendekiawan Islam terdahulu seperti Al-Khawarizmi dan Ibn Sina. Beliau berkata demikian dalam Majlis Iftar Mahabbah 2025 yang diadakan di PSA semalam.
“Tradisi keilmuan Islam menunjukkan bahawa ilmuwan terdahulu bukan sahaja pakar dalam bidang mereka, tetapi juga hafiz al-Quran. Mereka mempunyai daya ingatan yang kuat, dan ini memberi kelebihan kepada mereka dalam menguasai pelbagai ilmu,” katanya.
Program Techno Huffaz yang diperkenalkan sejak 2017 ini memberi peluang kepada pelajar untuk menghafal al-Quran sambil menjalani latihan dalam pelbagai bidang teknikal seperti kejuruteraan, teknologi maklumat dan automotif.
Dalam majlis tersebut, Mustapha turut menzahirkan penghargaan kepada PSA atas kejayaan mereka menerima beberapa pengiktirafan termasuk sebagai Politeknik Berprestasi Tinggi bagi kategori Politeknik Premier, Anugerah Projek Pembangunan RMK-12 Terbaik serta pengiktirafan dalam Finishing School Program Participation Award bagi Upskilling Grant for Medical Devices Industries.
Selain itu, beliau juga menyerahkan sumbangan Bantuan Kasih Ramadan daripada Yayasan Perkasa Siswa kepada 20 orang pelajar terpilih serta Sumbangan Kasih Ramadan Pusat Islam PSA kepada 20 Rakan Pusat Islam (RAPI).
Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Sapian, Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Kamaludin Daud dan Pengarah PSA, Zainah Rujihan serta para pengarah bahagian JPPKK dan pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.