Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAJENAYAHGagal bayar wang jaminan, pemandu lori batu kembali ke lokap

Gagal bayar wang jaminan, pemandu lori batu kembali ke lokap

- Advertisement -

TELUK INTAN — Pemandu lori muatan batu yang terbabit dalam kemalangan ngeri sehingga meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa kembali ke lokap selepas gagal membayar wang jaminan RM6,000 yang ditetapkan Mahkamah Majistret pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, suspek, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sementara menunggu sama ada wang jaminan akan dijelaskan.

“Sehingga kini (petang), tertuduh belum membayar wang jaminan. Dia ada maklumkan bahawa majikannya akan membantu membayar ikat jamin, namun setakat ini ia masih belum berlaku.

“Jika esok dia masih gagal menjelaskan bayaran, kita akan memindahkannya ke penjara sementara menunggu sebutan semula kes pada 17 Jun ini,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Teluk Intan, Norhamizah Shaiffuddin yang bertindak sebagai Majistret, membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 atas sembilan pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Pihak pendakwaan turut berjaya memohon syarat tambahan agar lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai dan dia diarahkan melapor diri di balai polis setiap minggu.

Mengikut pertuduhan, Rudi Zulkarnain yang masih bujang didakwa memandu lori secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU Unit 5 Ipoh dalam kejadian di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, Hilir Perak pada jam 9 pagi, 13 Mei lalu.

Mangsa yang terkorban dalam tragedi itu ialah S. Perumal, 44; Mohd. Roslan Abdul Rahim, 46; Mohd. Pozli Jaudin, 41; Nurit Pandak, 34; Amiruddin Zabri, 38; Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38; Muhamad Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Akmal Wafi Annuar, 28.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN