MELAKA – Seorang lelaki warga emas rebah selepas dipercayai dipukul menggunakan helmet oleh seorang individu dalam satu insiden perselisihan faham di jalan Taman Cheng Utama.
Kejadian itu dirakam dalam video berdurasi 16 saat yang mula tular di media sosial sejak Jumaat, sekali gus menarik perhatian ramai.
Menurut maklumat awal, insiden dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang menekan brek secara mengejut ketika memandu, menyebabkan kemarahan seorang penunggang motosikal yang kemudiannya bertindak agresif.
Menerusi rakaman tersebut, beberapa individu yang berada di lokasi cuba menenangkan keadaan, namun kejadian itu tetap berakhir dengan keganasan apabila suspek menghentak helmet ke kepala warga emas tersebut, menyebabkan mangsa rebah di tempat kejadian.
Insiden itu turut mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai keadaan mangsa, yang dilihat tidak bergerak selepas rebah. Malah, video tersebut turut mengundang sebak netizen apabila kedengaran suara tangisan kanak-kanak di latar belakang.
Di media sosial, tindakan suspek yang bertindak kasar terhadap seorang warga emas dikecam hebat. Netizen menyatakan bahawa perselisihan faham seperti itu sepatutnya diselesaikan secara baik tanpa melibatkan sebarang bentuk keganasan.
Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tengah memaklumkan bahawa setakat ini, belum ada laporan polis dibuat oleh mangsa berkaitan kejadian tersebut. Maklumat lanjut akan dikemas kini sebaik sahaja laporan rasmi diterima.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.