Khamis, 17 Julai 2025
UTAMAPENDIDIKANGraduan politeknik kini berpeluang sertai TLDM secara tetap

Graduan politeknik kini berpeluang sertai TLDM secara tetap

- Advertisement -

LANGKAWI – Graduan politeknik kini berpeluang membina kerjaya tetap dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi pelaksanaan Skim Diploma Tugas Khusus, hasil kerjasama strategik antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan TLDM.

Usaha ini dimeterai secara rasmi dalam satu majlis pertukaran dokumen kolaborasi yang berlangsung di Pavilion Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025, di sini pada Rabu.

fotomyberita 3

Pertukaran dokumen disempurnakan oleh Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Zainah Rujihan yang mewakili JPPKK, dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Ts. Shamsuddin Hj. Ludin bagi pihak TLDM.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha SakmudTimbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md. Amir, serta Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Mohd Zahari Ismail.

Menurut Zainah, PSA amat berbangga kerana diberi kepercayaan sebagai institusi perintis pelaksanaan skim ini sebelum diperluas ke politeknik lain di seluruh negara.

“Ini satu langkah strategik yang membuka laluan baharu kepada graduan TVET untuk menyumbang secara langsung kepada sektor pertahanan negara melalui kerjaya dalam TLDM yang berprestij,” katanya ketika ditemui selepas majlis.

Sementara itu, Dato’ Dr. Mohd Zahari menyifatkan kerjasama ini sebagai pemangkin kepada peningkatan penyertaan belia dalam bidang TVET dan sektor pertahanan.

“Ia bukan sahaja memperkukuh kerjasama antara KPT dan Kementerian Pertahanan, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja mahir serta membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda,” katanya.

Selain Skim Diploma Tugas Khusus, kerjasama ini turut meliputi beberapa inisiatif lain seperti pemerkasaan latihan teknikal maritim, perkongsian kepakaran pertahanan laut, pemindahan teknologi, pengukuhan Pasukan Latihan Anggota Simpanan (PLAS) TLDM, serta penempatan latihan industri dan latihan lanjutan untuk graduan politeknik yang mengikuti kursus perajurit muda TLDM.

Inisiatif ini dijangka menjadi platform jangka panjang dalam melahirkan tenaga kerja profesional yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi juga berdaya tahan dalam memperkukuh pertahanan maritim negara.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN