KAJANG – Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung insiden tular yang memaparkan seorang guru memarahi seorang murid perempuan di kantin sebuah sekolah di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan video tular yang menunjukkan kejadian seorang murid diherdik oleh seorang guru, yang dimuat naik di media sosial.
“Susulan video tersebut, seorang wanita tempatan berusia 40 tahun yang juga seorang guru telah tampil membuat laporan polis sekitar jam 10.26 pagi semalam.
“Wanita itu menafikan penglibatannya dalam kejadian berkenaan dan meminta siasatan dijalankan untuk membersihkan namanya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Naazron, sehingga kini tiada laporan diterima daripada ibu bapa atau mangsa berkaitan insiden tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Fatihah Awang di talian 011-25703695 bagi membantu siasatan,” tambahnya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memaklumkan akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan menjalankan siasatan terhadap kejadian itu.
Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek, turut dilaporkan telah mengarahkan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan untuk memantau secara langsung kes berkenaan.