MELAKA – Seorang guru lelaki dari sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di daerah Jasin dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Aiezad Asni, 38, yang masih bujang, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Aiezad didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 5 pagi, 23 Mei 2025 di bilik warden asrama lelaki sekolah tersebut. Mangsa merupakan seorang pelajar lelaki berumur 15 tahun tiga bulan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim, tidak menawarkan sebarang jaminan namun mencadangkan jumlah RM30,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, selain mencadangkan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam tertuduh, Farriz Minarwan Basaruddin pula memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya merupakan penyara keluarga dan perlu menguruskan rawatan susulan ibunya di hospital. Tambahnya, tertuduh telah ditukarkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sejak 28 Mei 2025.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan dan menetapkan 15 Julai 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.