KUALA LUMPUR – Usahawan terkenal, Hafiz Mahamad sekali lagi mencuri perhatian di media sosial apabila membawa semua staf syarikatnya membeli baju raya di gedung jenama terkenal, Bulan Bintang sebagai tanda penghargaan terhadap mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Momen tersebut dikongsi melalui hantaran TikTok oleh pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azim atau lebih dikenali sebagai Meri, yang menemu bual Hafiz bagi mendapatkan perkembangan serta tujuan usahawan itu membawa semua pekerjanya berbelanja di butik berkenaan.
@meripergibulat Nak kerja dekat Ainaa jugak la #bulanbintang ♬ original sound – meri yang busy
“Hari ini kita bawa semua staf Ainaa Beauty dan Ainaa Clinic beli semua barangan raya kat Bulan Bintang. Sebelum datang ke sini tadi, mereka ada yang dah dapat kereta untuk raya, tapi kalau kereta kita beri kepada seorang sahaja. Tapi untuk baju raya, memang kita akan bawa semua,” kata Hafiz dalam video tersebut.
Selain membeli baju raya buat stafnya, Hafiz turut menunjukkan kemurahan hati apabila menggenapkan jumlah pembayaran kepada RM10,000, menggunakan lebihan wang untuk membeli pakaian raya bagi pekerja di Bulan Bintang.
“Berapa semua jumlah bayaran tadi, RM8,907? Boleh genapkan semua kepada 10K sebab abang ingatkan hari ini habis sebanyak itu, jadi lagi seribu awak beri kepada staf Bulan Bintang,” ujar Hafiz.
Dalam pada itu, Meri sempat berseloroh meminta agar video tersebut tidak ditonton oleh stafnya kerana bimbang mereka turut meminta layanan sama seperti yang diterima oleh pekerja Ainaa Beauty dan Ainaa Clinic.
“Doakan staf saya jangan tengok video ni, tapi takpe saya rasa Ainaa dah penuh kan… Ainaa dah penuh kan,” gurau Meri.
Meri turut meluahkan rasa kagum terhadap Hafiz yang disifatkan sebagai salah seorang idolanya dalam dunia perniagaan dan berkongsi rasa syukur kerana dapat saling menyokong antara satu sama lain.
“Kalau kita memang tak boleh lawan Hafiz, ini kira raja lah. Kita ni baru nak meningkat naik. Tapi dalam pengkontenan, abang merupakan salah satu idola saya yang sangat saya hormati,” tambahnya.

Tindakan Hafiz ini mengingatkan ramai kepada kemurahan hatinya pada tahun lalu apabila beliau memberikan duit raya kepada semua pekerjanya serta menghadiahkan pakaian terpakai daripada isterinya, Aina, beg tangan raya untuk staf wanita dan baju raya bagi staf lelaki.
Sikap pemurah Hafiz Mahamad ini sekali lagi menjadi inspirasi kepada ramai dalam dunia keusahawanan dan dijangka terus memberi impak positif kepada masyarakat.