KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyuarakan harapan agar beregu wanita badminton negara, Pearly Tan dan M. Thinaah, kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) demi kelangsungan karier dan prestasi mereka di peringkat antarabangsa.
Menurut Hannah, jika Pearly-Thinaah kekal di bawah naungan BAM, mereka akan terus menerima sokongan menyeluruh, termasuk kemudahan latihan, jurulatih profesional, dan perkhidmatan Institut Sukan Negara (ISN) di bawah program Road to Gold (RTG).
“Ini harapan saya dan saya mahu mereka kekal bersama BAM supaya ada sokongan kerajaan dari segi dana, fasiliti dan perancangan jangka panjang. Bila keluar daripada BAM, banyak perkara yang perlu diuruskan sendiri,” katanya.
Tambah beliau, keputusan sepenuhnya terletak di tangan Pearly-Thinaah dan pihak kementerian tidak akan memberi tekanan kerana pasangan beregu itu kini sedang menyertai Terbuka Indonesia.
Setakat ini, status pasangan yang menduduki ranking keempat dunia itu masih menjadi tanda tanya sama ada mereka akan terus kekal bersama BAM atau memilih laluan profesional.
Hannah turut memberi contoh kejayaan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, yang membuktikan kelebihan berada di bawah struktur BAM apabila berjaya meraih pelbagai kejayaan antarabangsa dengan sokongan penuh daripada persatuan.
“Lihat sahaja peningkatan Aaron dan Wooi Yik. Mereka mendapat akses fasiliti lengkap dan sokongan sepenuhnya. Saya harap Pearly dan Thinaah juga ambil kira hal ini sebelum buat keputusan,” ujarnya lagi.
Pearly-Thinaah dijangka membuat pengumuman rasmi mengenai hala tuju karier mereka selepas berakhirnya kejohanan Terbuka Indonesia.