KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia sebanyak tiga sen kepada RM2.77 seliter bagi tempoh 29 Mei hingga 4 Jun 2025, selaras dengan perubahan harga pasaran minyak dunia.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Selain itu, harga runcit petrol RON97 dan RON95 masing-masing dikekalkan pada paras RM3.10 seliter dan RM2.05 seliter.
MOF menjelaskan bahawa penetapan harga mingguan produk petroleum dibuat berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), yang mengambil kira pergerakan semasa harga minyak global.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak serta menyokong kestabilan harga,” menurut kenyataan tersebut.
Tambah MOF, kerajaan juga akan mengambil langkah bersesuaian untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dalam menghadapi perubahan harga bahan api di pasaran antarabangsa.