Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMANASIONALHarga getah jatuh, dipengaruhi kemelesetan ekonomi

Harga getah jatuh, dipengaruhi kemelesetan ekonomi

- Advertisement -
Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pasaran getah Malaysia mencatatkan penurunan pada Isnin, dipengaruhi oleh aliran menurun dalam pasaran niaga hadapan getah serantau serta ketegangan perdagangan global.
Menurut seorang peniaga, kebimbangan mengenai kemungkinan kemelesetan ekonomi global akibat data ekonomi yang bercampur-campur dan peningkatan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) turut memberi tekanan kepada pasaran.
“Walaupun terdapat tekanan jualan, kejatuhan harga getah dihadkan oleh kenaikan harga minyak mentah,” katanya kepada Bernama.
Beliau menjelaskan bahawa niaga hadapan getah Jepun turut merosot akibat pengukuhan yen serta ketidaktentuan dalam pasaran global yang semakin meningkat susulan perang perdagangan.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump, mengesahkan bahawa tarif timbal balik akan dikuatkuasakan bermula 2 April, menyasarkan beberapa rakan dagangan utama seperti China dan India.
“Harga minyak mentah meningkat pada Isnin selepas AS berikrar untuk terus menyerang kumpulan Houthi di Yaman sehingga mereka menghentikan serangan terhadap kapal dagang,” tambahnya.
Lembaga Getah Malaysia melaporkan bahawa harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 susut 13 sen kepada 871.5 sen sekilogram pada jam 3 petang, manakala harga lateks pukal turun 4.5 sen kepada 693 sen sekilogram.
Sumber : BERNAMA

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN