KUALA LUMPUR – Ribuan rakyat Malaysia pada Jumaat membanjiri pusat bandar bagi menyertai Perhimpunan Aman Protes Hari Nakba sebagai solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dan bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis Israel.
Perhimpunan yang dianjurkan oleh lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bermula sekitar jam 2 petang di Menara Tabung Haji, sebelum para peserta berarak ke Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British dan seterusnya ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) kira-kira jam 3 petang.
Pengerusi Gerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia, Profesor Dr. Nazari Ismail berkata, himpunan itu diadakan sempena memperingati ulang tahun ke-77 peristiwa Nakba, iaitu hari bermulanya penderitaan besar rakyat Palestin selepas tanah mereka dirampas secara sistematik sejak tahun 1948.
“Perhimpunan ini bukan sekadar memperingati detik hitam dalam sejarah Palestin, tetapi turut membawa mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa rakyat Malaysia menolak penindasan, pendudukan haram serta kekejaman rejim Israel yang disokong kuasa besar dunia,” katanya ketika ditemui media.
Beliau turut menyerahkan memorandum kepada wakil Suruhanjaya Tinggi British di Menara Binjai, yang antara lain menuntut agar United Kingdom menghentikan penjualan senjata kepada Israel dan memohon maaf secara rasmi atas peranan negara itu dalam penjajahan Palestin menerusi Deklarasi Balfour.
Menurut tinjauan, suasana perhimpunan berlangsung secara aman dan teratur dengan kawalan ketat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut membantu melancarkan aliran trafik serta memastikan keselamatan para peserta.
Peristiwa Nakba yang bermaksud “malapetaka” dalam bahasa Arab merujuk kepada pengusiran besar-besaran rakyat Palestin dari tanah air mereka berikutan penubuhan negara Israel pada tahun 1948. Sejak itu, jutaan rakyat Palestin menjadi pelarian dan terus berdepan dengan pendudukan haram serta serangan berterusan ke atas wilayah mereka.
Perhimpunan kali ini mencerminkan keprihatinan berterusan rakyat Malaysia terhadap isu kemanusiaan global serta pendirian tegas negara dalam memperjuangkan keadilan dan hak rakyat Palestin.