JOHOR BAHRU – Skuad kebangsaan Malaysia memulakan kempen pusingan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 dengan langkah kanan selepas menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Kemenangan ini memberi kelegaan buat ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski, yang mengendalikan perlawanan pertamanya sejak dilantik pada Disember lalu.
Malaysia membuka jaringan menerusi pemain naturalisasi, Hector Hevel, pada minit ke-30 selepas rembatan derasnya dari luar kotak penalti terbias masuk ke gawang lawan, menewaskan penjaga gol Nepal, Kiran Kumar Limbu.
Stadium Sultan Ibrahim kembali bergema pada minit ke-70 apabila Corbin Ong menjaringkan gol kedua, memastikan kemenangan bergaya untuk skuad kebangsaan.
Harimau Malaya terus menggempur kubu lawan dalam usaha menambah jaringan, namun tiada tambahan gol sehingga wisel penamat dibunyikan.
Kemenangan ini memberikan suntikan semangat kepada pasukan Malaysia dalam usaha memburu tiket ke Piala Asia 2027 dan mengukuhkan keyakinan di bawah bimbingan Cklamovski.