PUTRAJAYA – Hospital Putrajaya mencipta sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai salah satu Hospital Terbaik Dunia 2025 oleh majalah antarabangsa Newsweek dan firma penyelidikan Statista, meletakkan institusi kesihatan awam itu setanding dengan hospital-hospital ternama di peringkat global.
Pengiktirafan itu turut dikongsi oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu hantaran di laman media sosialnya.
“Tahniah dan terima kasih kepada semua warga Hospital Putrajaya atas usaha dan dedikasi luar biasa,” tulis beliau sambil menyatakan penghargaan terhadap komitmen petugas kesihatan dari pelbagai peringkat.
Menurut beliau, penyenaraian berprestij itu dibuat berdasarkan beberapa parameter utama termasuk cadangan daripada pakar perubatan antarabangsa, metrik kualiti hospital, pengalaman pesakit, serta hasil kajian melalui Patient-Reported Outcome Measures (PROMs).
“Kejayaan ini adalah bukti komitmen berterusan setiap anggota hospital, dari barisan hadapan hingga ke pentadbiran, dalam memberikan rawatan berkualiti tinggi, selamat dan berfokuskan pesakit,” katanya.
Selain Hospital Putrajaya, Institut Jantung Negara (IJN) turut menerima pengiktirafan yang sama bagi tahun 2025, mencerminkan kecemerlangan sistem penjagaan kesihatan negara secara keseluruhan.
Dalam pada itu, beberapa hospital swasta di Malaysia seperti Sunway Medical Centre dan Gleneagles Hospital Kuala Lumpur juga tersenarai dalam laporan berkenaan, memperlihatkan landskap penjagaan kesihatan negara yang terus berkembang dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Pengiktirafan ini dijangka menjadi pemangkin semangat kepada institusi kesihatan lain dalam mengekalkan dan mempertingkatkan mutu perkhidmatan serta menegaskan kedudukan Malaysia sebagai destinasi perubatan terkemuka di rantau ini.