HULU TERENGGANU – Seorang doktor wanita maut manakala suami dan tiga anaknya cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 416.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab, berkata mangsa, Dr Noor Shirlyna Irma Ngah, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurutnya, pihak polis menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitar jam 4.50 pagi.
Siasatan awal mendapati kereta jenis Nissan Serena yang dipandu suami mangsa melanggar bahagian belakang sebuah lori yang membawa muatan telur ayam di lorong kiri lebuh raya.
“Akibat pelanggaran tersebut, kereta dinaiki mangsa berpusing dan mengalami kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan
Suami mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan, manakala tiga anak mereka yang duduk di bahagian belakang turut cedera.
Seorang lagi anak mereka berusia 11 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya pada Jumaat.
Sharudin turut memaklumkan bahawa pemandu lori berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital yang sama untuk bedah siasat,” tambahnya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.