KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara, Imran Aqil meluahkan rasa syukur dan kegembiraan selepas isterinya, Dahlia Rizal, selamat melahirkan anak sulung mereka yang diberi nama Yusra, malam tadi.
Perkhabaran gembira itu dikongsikan pasangan tersebut menerusi media sosial, dengan Dahlia memuat naik foto mereka bersama bayi perempuan seberat 2.85 kilogram itu di laman Instagram.
“Alhamdulillah, berkenalanlah dengan bayi perempuan kami yang cantik, Yusra. Dilahirkan pada 6 Mei, bayi ‘czer’ kami,” tulis Dahlia dalam kapsyen.
Menurut laporan media lain, Imran menjelaskan proses kelahiran tersebut pada asalnya dijangka secara normal, namun bertukar kepada pembedahan selepas isterinya tidak menunjukkan bukaan rahim yang mencukupi meskipun air ketuban telah pecah hampir 15 jam.
“Doktor nasihatkan untuk buat pembedahan. Saya takut darah, tapi apabila diminta menemani isteri, saya gagahkan diri. Saya dapat menyaksikan keseluruhan proses dan benar-benar kagum dengan pengorbanan seorang ibu,” katanya.
Imran turut berkongsi pengalamannya menyaksikan kesakitan dan keberanian isterinya sejak dari awal kehamilan sehingga ke saat bersalin, termasuk menerima suntikan epidural yang dikatakan sangat menyakitkan.
“Tiada istilah ‘cheat code’ dalam kesakitan bersalin. Jarumnya besar, sakitnya nyata. Saya sangat tersentuh dan lebih menghargai erti pengorbanan seorang ibu,” ujarnya.
Tambah Imran, isterinya turut memohon maaf kepada sesiapa yang mungkin terguris hati sepanjang kehamilan, dan menyifatkan pengalaman ini benar-benar membuka matanya terhadap maksud bahawa “syurga itu di bawah telapak kaki ibu.”