ROMPIN – Kit pencuci kasut inovatif, Solebalms Shoes Cleaning Kit, mencipta kejayaan tersendiri apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Terbaik bagi kategori Rekabentuk Produk & Multimedia Kreatif dalam pertandingan Innovation & Invention Competition via Exhibition (i-CoVEx) 2025 yang berlangsung di Dewan Sri Gading, Politeknik Muadzam Shah (PMS), pada Rabu.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Unit Penyelidikan, Inovasi dan Komersialisasi (UPIK), PMS itu menghimpunkan pelbagai rekaan ciptaan pelajar dan pensyarah dalam usaha menyemai budaya inovasi serta penerokaan teknologi baharu dalam kalangan warga institusi pendidikan.
Kit pencuci kasut yang menawan perhatian juri itu dibangunkan oleh tiga pelajar kreatif dari Diploma Teknologi Media Cetak (DMC), Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual (JRKV) iaitu Putra Danish Aimifitri Mohd Hazrul, Muhammad Danial Firdaus Mohd Shahrin dan Izza Nabila Zaidin. Mereka semua dibimbing oleh pensyarah, Nur Hidayah Mohiddin.
Menurut salah seorang ahli kumpulan, kejayaan ini membuktikan bahawa gabungan kreativiti dan dedikasi mampu menghasilkan produk yang bukan sahaja menarik, malah berpotensi tinggi untuk dikomersialkan secara meluas.
Menampilkan reka bentuk pembungkusan yang mesra pengguna dan praktikal, kit tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai alat pembersih kasut, malah direka untuk dilipat semula menjadi kotak paparan selepas dibeli. Pendekatan lestari ini menyokong konsep guna semula sekali gus menjadikannya lebih mampan dan berdaya saing di pasaran.
Pencapaian tersebut turut melonjakkan nama program DMC dan keupayaan pelajar aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam menghasilkan produk berimpak tinggi di peringkat institusi mahupun luar.
Tahniah🎊🎉