Khamis, 17 Julai 2025
UTAMAJENAYAHInspektor polis didakwa ambil rasuah RM23,000

Inspektor polis didakwa ambil rasuah RM23,000

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM23,000 berkaitan satu kes dadah yang dikendalikannya empat tahun lalu.

Tertuduh, Khairul Faiz Mohamad Zaini, 37, didakwa menerima suapan RM15,000 dan RM8,000 daripada seorang individu.

Wang tersebut dimasukkan ke akaun pihak ketiga sebelum dipindahkan ke akaun bank milik isterinya, dipercayai sebagai balasan untuk melepaskan tiga individu yang ditahan dan membuang dadah jenis syabu daripada laporan polis berkaitan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada 26 Februari 2021.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rabiatul Addawiyah Mohd Noorlee memohon agar mahkamah tidak membenarkan jaminan atas alasan tertuduh kini bertugas di Kedah yang bersempadan dengan Thailand dan dikhuatiri melarikan diri.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sejak ditahan pada Julai tahun lalu serta melaporkan diri setiap bulan.

Beliau turut memaklumkan bahawa isterinya tidak bekerja dan mereka mempunyai banyak hutang.

Hakim Mohd Azhar Othman membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, serta perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Jun ini bagi serahan dokumen dan pelantikan peguam.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN