Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMANASIONALIPP perkukuh komitmen pemuliharaan marin sempena Hari Bumi 2025

IPP perkukuh komitmen pemuliharaan marin sempena Hari Bumi 2025

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) meneruskan komitmen memperkukuh usaha pemuliharaan dan pemulihan alam sekitar marin negara bersempena sambutan Hari Bumi 2025 yang bertemakan “Our Power, Our Planet.”

Sebagai institusi penyelidikan utama di bawah Jabatan Perikanan Malaysia, IPP terus menerajui pelaksanaan pelbagai inisiatif berteraskan sains, inovasi dan kelestarian, sejajar dengan aspirasi negara menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG), khususnya yang berkaitan tindakan iklim (SDG 13) dan pemuliharaan ekosistem marin (SDG 14).

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain memberitahu bahawa sambutan Hari Bumi bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam memelihara khazanah marin negara.

“Melalui IPP, Jabatan Perikanan Malaysia terus memperkukuh penyelidikan dan inovasi demi kelestarian ekosistem marin serta kesejahteraan komuniti nelayan. Usaha ini adalah manifestasi kuasa kolektif kita dalam memelihara masa depan bumi,” katanya.

Antara inisiatif utama ialah pembinaan Taman Karang Pulau Layang-Layang oleh IPP Bintawa – taman karang buatan manusia terbesar di Malaysia yang diiktiraf Malaysia Book of Records dan dicalonkan untuk Anugerah Pembangunan Mampan JCI Malaysia 2025.

Selain menyumbang kepada konservasi biodiversiti marin, projek ini turut memperkukuh keupayaan penyerapan karbon melalui pembentukan struktur batu kapur oleh terumbu karang, yang menjadi sebahagian daripada ekosistem karbon biru (blue carbon).

IPP turut memberi tumpuan kepada pemulihan habitat rumput laut yang berpotensi mensekuester karbon dengan lebih cekap berbanding tumbuhan daratan. Melalui teknik propagasi eks-situ di IPP Rantau Abang, rumput laut dipulihara sebagai sebahagian usaha mitigasi perubahan iklim yang mampan.

Di IPP Gelang Patah, tumpuan diberikan kepada pembangunan sistem rawatan efluen akuakultur berasaskan penapis biologi daripada sisa cangkerang kerang. Sistem ini bukan sahaja meningkatkan kualiti air ternakan, malah menyumbang kepada penyerapan karbon melalui aktiviti biofilm mikroorganisma, sekali gus menyokong prinsip ekonomi kitaran dan tenaga boleh baharu.

Dalam usaha menjayakan matlamat pelepasan karbon sifar bersih negara, IPP Glami Lemi muncul sebagai institusi penyelidikan pertama melaksanakan pemasangan panel solar menerusi Perjanjian Bekalan Tenaga Solar (SARE) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB). Dengan kapasiti penjanaan 572 kilowatt, sistem ini dijangka menjimatkan kos operasi sehingga RM6.7 juta dalam tempoh dua dekad.

Sementara itu, IPP Batu Maung terus memainkan peranan penting dalam pemantauan kualiti air serta keselamatan makanan laut, khususnya terhadap toksin, mikroplastik dan logam berat, aspek yang bukan sahaja penting kepada kesihatan awam tetapi turut menyumbang kepada dasar pengurusan perikanan yang lebih mampan.

Di peringkat antarabangsa, kajian IPP terus mendapat pengiktirafan apabila projek “Sustainable Total Value Chain of Cockle Industry” dikaitkan dengan inisiatif Global Ocean Negative Carbon Emission (Global ONCE) di bawah rangka kerja United Nations Decade of Ocean Science for Sustainable Development 2021–2030.

Sempena Hari Bumi 2025, Jabatan Perikanan menyeru semua pihak, termasuk kerajaan, industri dan komuniti, agar terus berganding bahu dalam usaha melindungi dan memulihara ekosistem marin negara demi generasi akan datang.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN